Bila anda selidik dan teliti balik rupanya pekerja restoran yang mengendalikan makanan tersebut tidak menjaga etika penyediaan dan kebersihan makanan. Jadi, siapa yang anda patut saman? Pekerja tersebut atau pihak restoran?
Tahukah anda, di dalam undang-undang tort, terdapat satu konsep perundangan yang dikenali sebagai ‘Vicarious Liability’ atau Tanggungan Beralih.
Konsep ‘Vicarious Liability’ ini adalah di mana seseorang majikan itu bertanggungjawab atas kerosakan yang disebabkan oleh salah laku yang dilakukan oleh pekerjanya semasa mereka menjalankan pekerjaan tersebut.
Tetapi, untuk membolehkan seseorang majikan itu bertanggungjawab, terdapat beberapa elemen yang perlu dipenuhi.
Terdapat 2 elemen yang perlu dipenuhi untuk membolehkan sesorang majikan itu mempunyai tanggungan beralih atau ‘vicarious liability’ terhadap salah laku yang dilakukan oleh pekerjanya.
Yang pertama, hubungan di antara majikan dan pekerja. Seseorang itu dikategorikan sebagai pekerja apabila dia bekerja dibawah kontrak pekerjaan atau ‘contract of service’. Dalam erti kata mudah, seorang pekerja yang mendapat manfaat caruman-caruman wajib seperti KWSP dan PERKESO.
Manakala, seseorang yang diupah secara ‘Contract for Services’ adalah individu yang bekerja sendiri serta menerima tugasan spesifik di bawah ‘Contract For Services’. Individu sebegini dipanggil sebagai kontraktor bebas dan tidak menerima sebarang faedah seperti caruman wajib KWSP dan PERKESO.
Secara amnya, majikan tidak mempunyai tanggungan beralih terhadap salah laku pekerja yang bekerja di bawah ‘contract for services’ di syarikat mereka.
Untuk menentukan sama ada seseorang itu dikategorikan sebagai pekerja di mata undang-undang, Mahkamah telah mengguna pakai beberapa jenis kaedah antaranya ‘control test’, ‘business integration test’ dan ‘multiple test’.
Pada mulanya, kaedah yang diaplikasikan oleh Mahkamah untuk menentukan sifat sesuatu hubungan antara majikan dan pekerja tersebut adalah dengan mengguna pakai ‘Control test’.
Di dalam kes Short v J & W Henderson Ltd, Lord Thankerton berkata terdapat 4 faktor yang perlu diambil kira untuk menentukan ‘contract of service’:
1. Kuasa majikan untuk memilih;
2. Kuasa dalam menentukan gaji atau pembayaran yang lain;
3. Kuasa majikan untuk mengawal kaedah sesuatu kerja itu dilakukan; dan
4. Kuasa majikan untuk memberhentikan pekerja.
Sebagai contoh, di dalam kes Z Sdn Bhd v M Sdn Bhd [2004] 7 MLJ 461, plaintif adalah seorang kontraktor bebas yang bekerja untuk penerbangan kayu balak di Kawasan 1. Defendan pula mendapat lesen untuk menebang kayu balak di Kawasan 2 dan menggajikan Bawan sebagai kontraktor bebas untuk melakukan aktiviti itu bagi Defendan.
Ketika di dalam proses penebangan kayu balak di Kawasan 2, Bawan telah mencerobohi Kawasan 1 dan menebang lebih 600 batang kayu balak. Sebagai seorang yang bekerja di bawah Defendan, Bawan telah membekal dan memantau ke semua gerak kerja, alatan, mesin dan barangan.
Di dalam kes ini, Mahkamah telah mengguna pakai ‘Control test’ dan menentukan bahawa Bawan adalah seorang kontraktor bebas. Oleh itu, Defendan di dalam kes ini tidak bertanggungjawab atas salah laku yang dilakukan oleh Bawan.
Selepas beberapa tahun ‘Control test’ diaplikasikan, Mahkamah juga telah memperkenalkan ‘Business Integration test’. Melalui kaedah ini, untuk menentukan samada seseorang itu dikategorikan sebagai pekerja dibawah majikan tersebut adalah dengan melihat samada kerja yang dilakukannya itu adalah sebahagian daripada fungsi sesuatu organisasi atau syarikat itu. Jadi, jika pekerja tersebut hanya bekerja di bawah ‘contract for services’, skop kerjanya hanya dikira sebagai servis tambahan bagi syarikat tersebut.
Contohnya, di dalam kes MJD v Sykt JST Sdn Bhd [1982] 2 MLJ 71, plaintif bekerja sebagai tukang gergaji di kilang papan Defendan. Plaintif telah tercedera semasa melakukan kerja sehingga dia kehilangan 3 jari kanannya. Disebabkan kecederaan itu, dia terpaksa diberhentikan dari bekerja di kilang itu.
Dia kemudiannya telah menyaman Defendan dan menuntut pampasan. Defendan berhujah bahawa Plaintif bukanlah pekerjanya tetapi pekerja kontraktornya, iaitu Lim.
Mahkamah telah memutuskan bahawa oleh kerana gaji dan bilangan papan yang perlu digergaji oleh Plaintif ditentukan Defendan, kerja yang dilakukan Plaintif itu adalah sebahagian yang penting dalam perniagaan Defendan sekaligus Plaintif dikategorikan sebagai pekerjanya.
Mengikut peredaran zaman, penggunaan ‘Control test’ dan ‘Business Integration test’ di dalam Mahkamah menjadi semakin sukar untuk diaplikasikan dan kurang jelas untuk menentukan samada seseorang itu adalah seorang pekerja.
Oleh itu, Mahkamah lebih cenderung untuk menggunakan ‘Multiple test’ atau ‘Mixed test’ dalam menentukan isu tersebut. Kaedah yang digunakan di dalam ‘Multiple test’ ini adalah berdasarkan pedekatan ‘common sense’.
Di dalam kes RMC Ltd v Minister of Pensions [1968]2 QB 497, Mahkamah telah memutuskan bahawa terdapat 3 faktor yang perlu dipenuhi untuk menentukan samada terdapat ‘contract of service’ :
1) Pekerja itu bersetuju untuk berkhidmat untuk syarikat tersebut dan diberikan gaji sebagai balasan;
2) Pekerja tersebut bersetuju bahawa dia akan mematuhi arahan majikannya samada secara tersurat atau tersirat, dan secara tidak langsung wujudnya hubungan antara majikan dan pekerja;
3) Ke semua syarat di dalam perjanjian adalah konsisten dengan kontrak pekerjaan yang biasa.
Elemen kedua atau yang terakhir untuk menentukan samada seseorang majikan itu bertanggungjawab ke atas salah laku pekerjanya adalah apabila salah laku tersebut telah berlaku semasa kerja sedang dilakukan.
Syarat-syarat untuk elemen yang kedua ini adalah:
1) Tugas kerja yang dilakukan oleh pekerja tersebut mestilah dengan kebenaran majikan samada secara tersurat atau tersirat; dan
2) Pekerja tersebut melakukan sesuatu yang dibenarkan oleh majikan dengan cara yang salah/tidak dibenarkan;
Situasi ini dapat diilustrasikan di dalam kes LAT v AYC & Anor [1969] 2 MLJ 194, di mana anak kepada plaintif di dalam kes ini telah meninggal dunia akibat dilanggar oleh defendan pertama. Pada ketika itu, defendan pertama sedang di dalam perjalanan untuk melakukan tugasan buat majikannya iaitu defendan kedua. Mahkamah memutuskan bahawa majikannya bertanggungjawab di atas kecuaian Defendan pertama kerana salahlaku tersebut berlaku ketika pekerjanya sedang bekerja di bawah majikannya.
Anda perlukan jawapan dan jalan penyelesaian dalam tindakan undang-undang? Dapatkan khidmat nasihat guaman dari peguam-peguam kami di Liyana & Co.
Peguam-peguam kami mempunyai 10 tahun pengalaman dalam menyelesaikan masalah perundangan yang kompleks.
“Peguam & Penyelamat Anda”
📞📱 Jom set temujanji dan hubungi kami di talian: