Sharing :
KES WARIS BERTELAGAH KERANA TANAH DIHIBAHKAN PADA CUCU OLEH NENEK
Liyana The Lawyer
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat anda semua.
SEKSYEN 16, AKTA KONTRAK 1950.
Di dalam Akta Kontrak 1950, Seksyen 16 memperuntukkan konsep ‘Pengaruh Tidak Wajar’ atau ‘Undue Influence’ dimana sekiranya seseorang itu telah dipaksa memasuki apa jua kontrak, maka pihak tersebut kemudian boleh bersandar kepada seksyen ini untuk membatalkan kontrak tersebut. Namun begitu, ianya hendaklah digunapakai dalam kes-kes berkenaan kontrak sahaja.
FAKTA KES.
Di dalam kes Zaleha v Salmah [2001] 6 MLJ 234, Satu minggu sebelum kematiannya pada 8 Februari 1991, si mati telah memindahmilik dua lot tanah kepunyaan beliau kepada defendan iaitu cucunya melalui cara ‘hibah’. Pindahmilik tersebut telah didaftarkan oleh pejabat tanah.
Waris harta pusaka simati mendakwa bahawa pindahmilik tersebut adalah diakibatkan oleh pengaruh tidak wajar yang ditekankan oleh cucu tersebut ke atas si mati kerana cucu tersebut telah menjaga dan mengawal simati ketika si mati sakit. Adalah dihujahkan oleh pihak waris bahawa pindahmilik tersebut adalah batal dan tak sah menurut s 16 Akta Kontrak 1950.
KEPUTUSAN HAKIM.
Dalam kes ini, Hakim Yang Bijaksana telah memutuskan bahawa Isu sama ada terdapatnya pengaruh tidak wajar atau pun sebaliknya oleh cucu ke atas si mati adalah tidak relevan. Oleh kerana pemindahan lot-lot tersebut kepada defendan adalah melalui hibah, pemindahan tersebut merupakan suatu hadiah dan tidak bersifat kontraktual.
Seksyen 16 Akta Kontrak 1950 hanya terpakai pada perhubungan kontraktual. Oleh kerana lot-lot tersebut berdaftar atas nama cucu, prinsip hakmilik yang tidak boleh disangkal seperti mana yang diperuntukan dalam s 340(1) Kanun Tanah Negara 1965 melindungi hak nya ke atas lot-lot tersebut.
Sekian, memperkasakan ilmu perundangan anda,
-Liyana the Lawyer-