SOALAN:
Tempoh kontrak sewa rumah saya sudah tamat. Saya juga tidak pernah gagal untuk membayar sewa rumah setiap bulan pada waktu yang ditetapkan. Rumah sewa yang ditinggalkan juga berada dalam keadaan yang baik dan bersih. Tetapi selepas beberapa bulan tamat menyewa, tuan rumah masih belum pulangkan duit deposit sewa rumah saya. Saya cuba untuk menghubunginya tapi tidak dapat dikesan. Saya ingin mengambil tindakan undang-undang ke atas tuan rumah, tetapi saya baru sedar yang selama ini Perjanjian Sewa Rumah saya tidak pernah dimatikan setem! Saya buntu dan risau kalau perjanjian ini tidak dianggap sah di sisi undang-undang. Tolong saya!
JAWAPAN:
Tujuan penyeteman perjanjian adalah untuk melindungi hak orang-orang yang menandatangani perjanjian tersebut dan samada ada dokumen/perjanjian anda disetem atau tidak ia akan mendatangkan situasi yang cukup berbeza.
Ini kerana, mengikut seksyen 52 Akta Setem 1949,
“Tiada suratcara yang dikenakan duti boleh diterima sebagai keterangan… melainkan suratcara itu telah disetemkan”.
Maksudnya, jika anda ingin membuat apa-apa tuntutan di Mahkamah, pihak Mahkamah tidak dapat menerima perjanjian tersebut sebagai bahan bukti keterangan di Mahkamah. Tetapi, ini tidak bermaksud undang-undang menolak keras perjanjian tersebut daripada menjadi bukti yang diterima di Mahkamah.
Hal ini kerana, kedudukan dokumen yang tidak disetem di sisi undang-undang telah dijelaskan di dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu kes Malayan Banking
Bhd v Agencies Service Bureau Sdn Bhd & Ors (1982) 1 MLJ 198.
Di dalam kes ini, Mahkamah telah membuat keputusan bahawa perjanjian yang tidak disetem tidak akan membuat satu perjanjian itu menjadi tidak sah, tetapi hanya akan menyebabkan ianya tidak dapat menjadi bukti yang diterima di Mahkamah.
Mahkamah kemudiannya menekankan apa yang hanya perlu di pastikan di dalam keadaan ini, adalah untuk perjanjian itu disetemkan dengan sewajarnya beserta dengan pembayaran penalti menurut Akta Setem.
Jadi berdasarkan kes di atas, apa yang anda perlu lakukan sekarang adalah untuk meneruskan penyeteman perjanjian tersebut dengan membayar bayaran penalti yang telah ditetapkan oleh LHDN agar Mahkamah dapat menerima perjanjian itu sebagai bukti keterangan.
APAKAH MAKSUD DUTI SETEM?
Duti setem adalah cukai yang dikenakan ke atas dokumen/suratcara yang ada kesan perundangan, komersial dan kewangan seperti yang dinyatakan di bawah Jadual Pertama, Akta Setem 1949.
Duti setem yang perlu dibayar ditentukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 4 Akta Setem 1949.
JENIS-JENIS DUIT SETEM
Terdapat dua jenis duti setem iaitu duti ‘ad valorem’ atau duti tetap.
1. Duti Ad Valorem ialah duti yang dikenakan bergantung kepada nilai sesuatu perkara di dalam suratcara/dokumen tersebut atau nilai pasaran hartanah dan ianya tidak tetap.
2. Duti Tetap ialah duti yang dikenakan adalah mengikut ketetapan dan tanpa ada kaitan dengan balasan atau amaun yang dinyatakan dalam suratcara/dokumen.
BILAKAH SEPATUTNYA PERJANJIAN PERLU DIMATIKAN SETEM?
Dalam Seksyen 47, Akta Setem 1949 menyatakan:
“Kecuali jika peruntukan nyata lain dibuat oleh Akta ini atau mana-mana Akta lain, mana-mana surat cara yang tidak disetem atau tidak disetem secukupnya yang bukan cek atau nota janji hutang yang dikeluarkan atau dibuat di dalam Malaysia boleh disetem selepas pelaksanaan pembayaran duti yang belum dibayar jika surat cara itu dikemukakan untuk disetem dalam tempoh tiga puluh hari daripada pelaksanaannya jika dilaksanakan di dalam Malaysia, atau dalam tempoh tiga puluh hari selepas ia mula-mula diterima di Malaysia jika ia telah dilaksanakan di luar Malaysia”.
Secara ringkasnya, bayaran penalti akan dikenakan jika anda tidak menyetem perjanjian anda dalam masa 30 hari selepas perjanjian tersebut ditandatangani.
BERAPAKAH NILAI PENALTI UNTUK PENYETEMAN LEBIH MASA?
Mengikut Akta, jika anda gagal untuk membuat penyeteman dalam masa yang ditetapkan, anda dikehendaki untuk membayar duti setem yang tidak berbayar bersama-sama bayaran penalti yang dinyatakan di dalam Seksyen 47A iaitu:
(a) RM25.00 atau 5% daripada duti yang berkurangan, yang mana lebih tinggi, kalau ia disetemkan dalam tempoh 3 bulan selepas masa untuk penyeteman; (b) RM50.00 atau 10% daripada duti yang berkurangan, yang mana lebih tinggi, kalau ia disetemkan selepas tempoh 3 bulan tetapi tidak lewat daripada 6 bulan selepas masa untuk penyeteman; atau (c) RM100.00 atau 20% daripada duti yang berkurangan, yang mana lebih tinggi, sekiranya ia disetemkan selepas 6 bulan selepas masa untuk penyeteman.
Mari kita mengikuti kes Mahkamah Tinggi
Omega Securities Sdn Bhd v Dato’ Hamzah Bin Abdul Majid (2011) 8 MLJ 12
Di dalam kes ini, isu yang dibangkitkan di Mahkamah adalah berkenaan dengan keabsahan “Margin Facility Agreement” yang tidak disetem.
Mahkamah telah merujuk kepada prinsip undang-undang yang digunakan di dalam kes Malayan Banking
Berhad dan memutuskan bahawa, “di dalam kes ini, kegagalan menyetem “Margin Facility Agreement” tersebut tidak melibatkan keabsahannya. Ia hanyalah melibatkan isu Hasil
Kerajaan”. Oleh itu, “Margin Facility Agreement” tersebut adalah sah di sisi undang-undang.
Anda perlukan jawapan dan jalan penyelesaian dalam tindakan undang undang? Dapatkan khidmat nasihat guaman dari peguam-peguam kami di Liyana & Co.
Peguam-peguam kami mempunyai 10 tahun pengalaman dalam menyelesaikan masalah perundangan yang kompleks.
“Peguam & Penyelamat Anda”
���� Jom set temujanji dan hubungi kami di talian: