Soalan:-

Syarikat saya ada masuk perjanjian berkenaan projek berkaitan tanah dengan satu syarikat ni. Kerja dah berjalan tapi tiba-tiba syarikat tu tarik diri daripada projek. Mereka hantar notis serta merta nak tamatkan perjanjian dengan syarikat saya sedangkan terma dalam perjanjian kena hantar notis 3 bulan. Disebabkan perkara ni, syarikat saya mengalami kerugian.

Boleh saman ke kalau macam ni Puan Liyana?

Jawapannya, BOLEH!

Berdasarkan kes;

JVC Emas Sdn Bhd lwn Premium Elastic Sdn Bhd [2018] 11 MLJ 421, Mahkamah Tinggi Alor Setar

Plaintif (JVC Emas) dan Defendan (Premium Elastic) telah memasuki ‘Sand Mining Agreement’ dan ‘Project Management Agreement’ bertarikh 14 Jun 2012 (‘Perjanjian tersebut’) bagi projek pengeluaran pasir di atas sebidang tanah yang terletak di Kedah. Defendan telah memulakan kerja-kerja mencuci sungai dan mengeluarkan pasir.

Namun, Defendan kemudian melalui surat telah menamatkan Perjanjian tersebut dengan Plaintif tanpa menyatakan apa-apa alasan.

Disebabkan penamatan Perjanjian tersebut oleh Defendan, Plaintif telah mengalami kerugian dan memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Defendan. Defendan juga telah memfailkan tuntutan balas terhadap Plaintif untuk menuntut gantirugi khas berjumlah RM1,580,343.

Defendan berpendirian bahawa surat penamatan Perjanjian tersebut adalah surat yang sah dan Plaintif tidak berhak menuntut sebarang gantirugi daripadanya. Manakala Plaintif menghujahkan penamatan tersebut adalah tidak sah kerana ia dibuat secara sebelah pihak sahaja tanpa perbincangan bersama.

Bagi isu kesahan penamatan Perjanjian tersebut yang dibuat oleh Defendan melalui surat, Mahkamah memutuskan tindakan penamatan Defendan adalah tidak sah. Suatu notis penamatan perjanjian hendaklah dinyatakan alasan-alasan yang munasabah mengapa ia ditamatkan supaya pihak-pihak mengetahui sebab penamatan.

Selain itu, Defendan dalam kes ini juga telah melanggar klausa Perjanjian tersebut berkenaan penamatan perjanjian yang mana suatu penamatan hendaklah dikeluarkan melalui 3 bulan notis. Defendan pula telah memberikan notis penamatan kepada Plaintif yang dinyatakan penamatan berkuatkuasa serta merta.

Mahkamah membenarkan tuntutan Plaintif dan menolak tuntutan balas oleh Defendan dengan kos. Mahkamah ini selanjutnya memerintahkan Defendan membayar kos RM10,000 berserta 5% alokatur kepada Plaintif.

Suatu penamatan perjanjian tidak boleh dibuat secara sesuka hati kerana kedua-dua pihak perlu tahu apakah alasan penamatan tersebut disamping keperluan untuk mematuhi klausa-klausa perjanjian iaitu antaranya berkenaan penamatan perjanjian. Sebarang ketidakpatuhan klausa perjanjian adalah membawa kepada suatu perlanggaran kontrak dan boleh diambil tindakan mahkamah.

Sekian, Liyana the Lawyer.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *