Seorang suspek hanya boleh ditahan untuk tujuan siasatan oleh pihak polis tidak melebihi 24 jam. Sekiranya siasatan tidak dapat diselesaikan dan pihak polis ingin menahan suspek melebihi 24 jam, suatu permohonan untuk melanjutkan penahanan perlulah dibuat di Mahkamah Majistret. Tempoh lanjutan penahanan tersebut juga dikenali sebagai “REMAN”.
BERAPA LAMA SAYA AKAN DIREMAN?
Tempoh reman adalah bergantung kepada jenis dan tahap keseriusan kesalahan jenayah yang dilakukan. Bagi kesalahan jenayah ringan, tempoh maksimum reman yang boleh diberikan adalah selama 7 hari.
Manakala, tempoh maksimum reman bagi kesalahan jenayah berat adalah selama 14 hari.Namun, terdapat juga kesalahan-kesalahan khas berdasarkan akta yang tempoh remannya adalah berbeza.
APAKAH HAK SAYA SEMASA TEMPOH REMAN?
Semasa tempoh reman, terdapat beberapa hak suspek yang tidak boleh dinafikan.
Antaranya ialah:-
- Hak untuk diwakili oleh peguam;
- Hak untuk menghubungi ahli keluarga;
- Hak untuk mendapatkan rawatan perubatan; dan
- Hak untuk membuat aduan sekiranya dilayan dengan buruk atau dinafikan makanan, air atau pakaian yang sepatutnya.
Sekiranya hak-hak anda di atas dinafikan, anda juga boleh membuat permohonan ke mahkamah untuk mendapatkan perintah pembebasan serta merta.
APA ITU JAMINAN?
Jaminan adalah pembebasan sementara suspek/tertuduh dengan penjamin mendepositkan sejumlah amaun sebagai cagaran bagi memastikan suspek/tertuduh hadir ke balai/mahkamah sekiranya diperlukan.
Terdapat 2 jenis jaminan iaitu:-
- Jaminan polis
- Jaminan mahkamah
Jaminan polis biasanya diberikan setelah tamat tempoh reman dan pihak polis masih tiada keputusan sama ada ingin meneruskan dengan pertuduhan atau tidak.
Jaminan mahkamah pula diberikan setelah pertuduhan dibacakan.
Jaminan juga boleh disertakan dengan syarat tertentu mengikut kes.
SIAPA YANG BOLEH JADI PENJAMIN?
Syarat-syarat untuk seseorang itu menjadi penjamin adalah:-
- Berumur 18 tahun dan ke atas;
- Warganegara Malaysia (bagi bukan warganegara, orang itu hendaklah tertakluk kepada syarat yang akan dikenakan oleh mahkamah);
- Memahami semua syarat yang dikenakan oleh mahkamah; dan
- Dapat mengemukakan amaun jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.
Penjamin perlu memastikan kehadiran suspek/tertuduh ke balai/mahkamah pada tarikh dan masa yang ditetapkan.
ADAKAH SEMUA KESALAHAN BOLEH DIJAMIN?
Jawapannya adalah tidak. Terdapat kesalahan yang boleh dijamin dan juga kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Namun, walaupun kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan tidak boleh dijamin, tertuduh masih boleh memohon untuk diberikan jaminan kerana pemberian jaminan adalah budi bicara mahkamah dan kuasa budi bicara ini hendaklah dijalankan dengan bijaksana dan bergantung kepada keseriusan kesalahan yang dilakukan.
ANDA PERLUKAN NASIHAT GUAMAN BERKENAAN KES JENAYAH?
Jom dapatkan khidmat guaman daripada peguam profesional kami yang sudah berpengalaman 11 tahun! Hubungi kami sekarang!
Hubungi kami untuk set janji temu: