Sharing :
Kesalahan ditangkap tak puasa, apa hukumnya?
Liyana The Lawyer
Kita dah masuk hari ke-2 bulan Ramadhan yang mulia ini.
Ahha sebab tu saya nak beri sedikit penerangan mengenai kesalahan jenayah tak berpuasa. Ada yang tak puasa ke tu? Jeng jeng jengg
Di Wilayah Persekutuan, iaitu di area KL, Putrajaya dan Labuan, undang-undang yang terpakai adalah Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997
manakala di Selangor, Seksyen 19 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 digunapakai.
Tiap tiap tahun sempena Ramadhan akan ada je keluar berita orang kena tangkap tak berpuasa. Huhu bagi saya agak memalukan sebab yelah, semua dah dewasa bukannya kanak-kanak kecil lagi.
Melainkan anda tergolong dalam orang orang yang uzur dan dikecualikan dari berpuasa atas sebab-sebab kesihatan.
Ianya sudah menjadi norma setiap bulan Ramadhan dan juga telah dibuat jenaka untuk mereka yang tidak berpuasa ditangkap dan di bawa di dalam van jenazah ke pejabat agama daerah untuk memberikan kesedaran kepada mereka
Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 adalah peruntukan di bawah undang-undang syariah iaitu:
Seksyen 15. Tidak menghormati Ramadhan.
Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan-
(a) menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu; atau
(b) secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,
dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, Seksyen 19. Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan:-
Seksyen 19. Tidak menghormati Ramadhan.
Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan:-
(a) menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu itu;
(b) secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,
dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Prosedur yang akan diambil ke atas orang-orang yang tidak berpuasa secara sengaja ini adalah pertamanya diberikan saman untuk menghadirkan diri ke pejabat agama daerah pada tarikh tertentu untuk dirakam keterangan.
Mereka tidak ditahan, namun jika mereka gagal hadir, barulah waran tangkap dikeluarkan. Dan jika disabit kesalahan kali pertama, boleh kena hukum denda RM1000 dan penjara 6 bulan. Bagi kesalahan kedua, boleh kena hukum denda RM2000 dan penjara 1 tahun.
Sekian, pesanan khidmat masyarakat sempena bulan Ramadhan: puasa lah yee
-Liyana the Lawyer-