Sharing :
Bekas Sumber Manusia Eksekutif Kanan Berhenti Secara Paksa?
Liyana The Lawyer
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua.
Perkongsian kes hari ini ialah antara Hasyem Abdullah dan Lim Kok Wing University. Penuntut bekerja di Syarikat sebagai Eksekutif Kanan Sumber Manusia pada 2.4.2018 dengan gaji asas RM6,200 sebulan dan telah disahkan jawatannya. Penuntut mendakwa bahawa dia dipaksa oleh Syarikat untuk meletak jawatan melalui surat bertarikh 15.2.2019.
Penuntut perlu membuktikan bahawa Syarikat telah memaksanya untuk berhenti kerja. Sekiranya Penuntut gagal membuktikannya, bererti tidak ada pemecatan yang berlaku. Sejak pertengahan Januari 2019, dia memaklumkan mendapat arahan berulang kali dari Pengurus Sumber Manusia untuk mengemukakan surat peletakan jawatannya tanpa memberitahu sebab.
Penuntut juga menegaskan bahawa Syarikat menindasnya dengan kata-kata kesat. Ketika Penuntut bercuti pada 13.2.2019 dan 14.2.2019, dia menerima WhatsApp dari HR Manager yang memerintahkannya untuk menyediakan senarai penyerahan dan mengemukakan surat peletakan jawatannya. Dia kemudian mengemukakan surat peletakan jawatannya bertarikh 15.2.2019 mengikut arahan dan prosedur. Surat tersebut telah disahkan oleh Syarikat. Tetapi Kehadiran Penuntut pada 13.2.2019 adalah ‘HADIR’ di mana 14.2.2019 dan 15.2.2019 tiada rekod Kehadiran.
Penuntut berpendapat bahawa Syarikat mengusirnya dari pejabat sebaik sahaja dia mengemukakan surat peletakan jawatan walaupun perletakan jawatannya akan berkuatkuasa pada 28.2.2019. Penuntut menyatakan bahawa tindakan Syarikat yang berulang kali mengarahnya untuk berhenti kerja adalah pelanggaran syarat asas kontrak kerja. Syarikat menyatakan bahawa Penuntut tidak menjalankan tugasnya dengan betul dan telah berulang kali memberi amaran secara lisan.
Penuntut tidak dapat memberikan penjelasan yang jelas ketika disoal siasat mengenai pekerjaannya oleh Syarikat. Tetapi, surat pengesahan perletakan jawatan Penuntut dibuat oleh Penuntut sendiri bukan oleh jabatan HR.
Penuntut telah menaip sendiri surat peletakan jawatan secara peribadi dan pilihan kata oleh Penuntut tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Dari surat itu, tidak ada bukti yang menunjukkan Penuntut dipaksa untuk meletakkan jawatan.
Sekian, moga perkongsian kes kali ini membuatkan anda sedar bahawa tidak boleh sewenang-wenangnya cuba memperbodohkan Hakim dengan cubaan untuk menyatakan bahawa terdapat pemecatan secara paksa walaupun pada hakikatnya pekerja itu sendiri yang bermasalah dan mempunyai prestasi kerja yang tidak memuaskan.
Sekian,
Liyana the Lawyer